Pengarah Roma, Tiago Pinto, yakin Jose Mourinho akan kekal sebagai menguruskan kelab Serie A itu walaupun makin kerap dikaitkan memikul tanggungjawab menerajui Portugal.

Portugal sedang mengintai ketua jurulatih baru berikutan pemergian Fernando Santos selepas kekalahan mengecewakan kepada Maghribi dalam suku akhir Piala Dunia di Qatar, bulan lalu.

Mourinho merupakan salah satu daripada beberapa nama yang dilaporkan menjadi calon utama, malah pengurus berusia 59 tahun itu juga disebut-sebut sebagai sasaran Brazil selepas Tite turut mengosongkan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Pinto menjangkakan pengurus Portugis itu akan kekal di Stadio Olimpico, di mana dia mengikat kontrak hingga akhir musim 2023-24.

“Apabila anda mendapat seorang jurulatih seperti Mourinho, anda perlu membiasakan diri dengan khabar angin,” katanya kepada La Gazzetta dello Sport.



"Ini adalah kali pertama dalam tempoh 18 bulan sebarang kelab atau persekutuan meminati khidmatnya. Kami tidak mempunyai sebarang gangguan di kem latihan kami di Algarve, kami hanya fokus kepada persiapan.

"Saya orang Portugis dan setiap kali kami bertukar jurulatih, nama Mourinho disebut-sebut tetapi kami menyandarkan harapan kepadanya untuk memimpin masa depan kami."