Jose Mourinho terkejut Roma diangkat sebagai pencabar kejuaraan Serie A sedangkan hanya Sampdoria dan Lecce berbelanja kurang daripada pasukannya.

Giallorossi menduduki tempat keenam musim lalu dan memenangi penganjuran sulung Liga Persidangan Europa pada Mei lalu.

Roma berjaya memujuk Paulo Dybala untuk menyertai mereka secara percuma sebelum membawa masuk Georginio Wijnaldum dengan perjanjian pinjaman selama semusim.

Mile Svilar dan Zeki Celik turut memperkasakan gergasi Eternal City itu walaupun Henrikh Mkhitaryan berpindah ke Inter sebagai ejen bebas sementara Jordan Veretout ke Marseille.

Kemenangan 1-0 ke atas Tottenham dalam perlawanan persahabatan selain membelasah Shakhtar Donetsk 5-0 membuatkan mereka digembar-gemburkan sebagai calon pilihan menjelang perlawanan Serie A pertama musim ini di Salernitana, tengah malam Isnin ini.





Mourinho sebaliknya enggan dilabel sedemkian apabila memberitahu pemberita sebentar tadi: "Terdapat pasukan yang mempunyai potensi ekonomi yang tidak mampu dibandingkan dengan kami, saya tidak mengatakan jarak itu seperti di antara bumi dan marikh, tetapi ada pihak lain yang membelanjakan €100-150 juta (RM456.1-RM684.1j) setiap musim.

"Kami sentiasa turun dengan mencurahkan segala kudrat. Kami menamatkan liga musim lalu di tempat keenam, skuad kami bertambah baik, kami kehilangan Mkhitaryan dan Veretout tetapi kami merekrut pemain yang boleh meningkat kualiti pasukan, tetapi kelab-kelab lain juga mengambil langkah yang sama.

"Sepanjang tidak bercakap dengan wartawan kebelakangan ini, saya terkejut apabila kami dilabel sebagai pilihan juara. Roma boleh dianggap sebagai calon untuk meraih Scudetto sekiranya kami pernah memenangi 18 gelaran.

"Hanya Sampdoria dan Lecce berbelanja kurang daripada kami. Milan dan Inter menamatkan dengan 25 dan 23 mata di hadapan kami dan bertambah baik. Terdapat banyak ulasan mengenai perlawanan menarik menentang Tottenham dan Shakhtar.

"Kita bercakap tentang barisan saya tatkala ada kelab lain yang senyap-senyap membuat persiapan. Lazio telah membelanjakan €39j (RM173.3j) adakah mereka calon Scudetto?"