Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, menghamburkan pujian terhadap peranan besar yang dimainkan Rodrygo dan Fede Valverde ketika membenam Atletico Madrid awal pagi tadi.

Dalam pertembungan 'derby' di Estadio Metropolitano itu, Rodrygo membuka tirai jaringan perlawanan ketika permainan berusia 17 minit sebelum Fede Valverde menyempurnakan bola muntah dari tiang rembatan Vinicius Jr untuk mengukuhkan kedudukan dalam babak pertama.

Jaringan Mario Hermoso tatkkala permainan berbaki tujuh minit nyata sudah lewat buat tuan rumah untuk bangkit.

“Rodrygo dan Fede sangat istimewa kerana mereka adalah pemain bola sepak moden ketika ini.

"Mereka bermain di posisi yang berbeza berasaskan corak fizikal dan teknik”, katanya kepada Marca.

“Kedua-duanya telah banyak berkembang dan kami gembira kerana mereka beraksi dengan sangat baik.

“Pemain moden adalah pemain yang lengkap menerusi tenaga dan kualiti.

“Bola sepak moden akan memanfaatkan kualiti ini.

"Jurulatih menyediakan strategi tetapi bola sepak adalah milik pemain," katanya selepas perlawanan.