Bayern Munich bertegas tidak akan menjual Robert Lewandowski walaupun jika menerima tawaran berjumlah EUR150 juta (RM708 juta), kata pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

Ketua jurulatih, Niko Kovac, minggu lalu mengakui bahawa penyerang itu sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab itu selepas mengharungi empat tahun yang cemerlang di Allianz Arena.

Real Madrid dikaitkan dengan penyerang berusia 29 tahun itu tatkala Maurizio Sarri turut dilaporkan menjadikannya sebagai sasaran buat Chelsea ketika jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris berbaki sembilan hari lagi.

Bagaimanapun, Rummenigge menegaskan tiada nilai wang yang mampu ditawarkan kepada Bayern untuk mengubah pendirian melepaskan pemain Poland itu yang masih memiliki baki kontrak selama tiga tahun.

"Mengenai Lewandowski, kami mahu memberi peringatan buat semua orang di dalam dan di luar kelab. Bayern Munich adalah kelab yang berbeza berbanding pasukan lain yang sering tunduk apabila ditawarkan nilai lumayan," katanya.

"Kami mahu menegaskan bahawa pintu sentiasa tertutup. Kami berpuas hati dengan dia di dalam posisinya dan hanya ada beberapa pemain yang boleh dibandingkan.

"Kami tidak bercadang untuk menjualnya dan ia tidak akan berubah walaupun jika ada tawaran bernilai hampir RM708 juta. Pemain dengan kualiti terbaik akan kekal bersama kami."

Lewandowski telah memenangi empat trofi Bundesliga, dua Piala Super Jerman dan satu Piala Jerman sejak menyertai Bayern dari Borussia Dortmund pada 2014.

Dia menamatkan tiga daripada lima musim di Jerman selaku penjaring terbanyak, termasuk musim lalu, selepas menyumbat 29 gol di pentas Bundesliga.