Real Madrid mengesahkan bahawa mereka sah menandatangani Antonio Rudiger daripada Chelsea secara ejen bebas.

Sebelum ini, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, selepas kemenangan ke atas West Ham pada April lalu, mengesahkan bahawa Rudiger berkemungkinan besar akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya tamat pada penghujung musim lalu selepas pemain itu menolak untuk menandatangani kesepakatan baru.

Chelsea, pada ketika itu, tidak mampu meningkatkan tawaran berkenaan berikutan sekatan yang dikenakan terhadap pemilik mereka, Roman Abramovich, oleh kerajaan United Kingdom berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Madrid kelihatan akan menjadi pasukan pilihan untuk menandatangani pertahanan tengah Jerman itu, yang turut diintai kelab-kelab gergasi lain seperti Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG).

Los Blancos malam tadi mengesahkan bahawa pemain berusia 29 tahun berkenaan sudah bersetuju untuk mengikat kesepakatan selama empat tahun bersama mereka.

"Pada hari Isnin, 20 Jun, pada jam 12.00 di Bandar Real Madrid, akan ada sesi pengenalan Antonio Rudiger sebagai pemain Real Madrid," tambah kelab itu dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka.

Rudiger menyertai Chelsea daripada AS Roma pada Julai 2017 dan mencipta nama selaku pertahanan tengah di kelab London itu.

Dia memainkan peranan penting ketika Chelsea memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2020-21 sebelum turut menjulang trofi Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA tahun lalu.

Rudiger juga memenangi Piala FA pada 2018 dan turut bersama Chelsea ketika dinobatkan sebagai juara Liga Europa tiga tahun lalu.