Carlo Ancelotti menyimpulkan barisan pemainnya masih dalam suasana percutian selepas mempamerkan prestasi hambar Real Madrid dalam kekalahan 0-1 kepada Getafe, awal pagi tadi, dengan berkata: "Nampaknya kami masih bercuti untuk sehari lagi."

Pengurus Los Blancos itu menganggap sepatutnya tiada sebab untuk sebarang drama memandangkan pasukannya perlu terus mengukuhkan kedudukan di puncak LaLiga.

Bagaimanapun, kekalahan mengejut di Coliseum Alfonso Perez itu adalah satu pendekatan yang menyedihkan untuk memulakan 2022 sedangkan mereka dalam misi merampas mahkota kejuaraan Sepanyol daripada seteru kota, Atletico Madrid.

Ia adalah kali kedua Ancelotti -- yang kembali dilantik Jun lalu -- kecundang dalam perlawanan pembukaan awal tahun sepanjang tiga musim mengemudi kelab gergasi itu.

Sebelum ini mereka tersungkur ketika menentang Valencia di Mestalla pada Januari 2015 dan kekalahan 1-2 itu menyaksikan rentak 22 kemenangan berturut-turut berkecai.

Kali ini, Madrid ketinggalan selepas sembilan minit permainan apabila kesilapan Eder Militao pantas disambar Enes Unal yang melepaskan rembatan untuk melepasi jangkauan Thibaut Courtois.

Luka Modric, Casemiro dan penyerang utama, Karim Benzema, hampir menghasilkan gol penyamaan tetapi Getafe kental bertahan untuk meraih mata berharga.

“Kami memberi tindak balas untuk 10 minit pertama selepas gol itu, kemudian kami gementar dan kehilangan bola termasuk dalam perebutan bola,” katanya.



"Saya rasa tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang perlawanan ini. Nampaknya kami masih bercuti untuk sehari lagi.

"Ia tidak kelihatan seperti skuad yang mengakhiri tahun ini: kami kurang tumpuan, kurang komitmen. Kami tidak layak untuk menang tetapi kami juga tidak patut kalah.

"Kami melepaskan satu gol dan tewas. Ia adalah satu panggilan untuk menyedarkan kami. Kami tidak beraksi dengan baik dan tiada alasan untuk itu."