Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, dijangka terlepas tiga bulan pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2021-22 selepas memilih untuk menjalani pembedahan pada kecederaan bahu yang dialami sejak sebelum ini.

Rashford dilaporkan mengalami kecederaan otot pada bahu sejak November, namun terus beraksi di sebalik kecederaan bagi baki musim, kemudian turun beraksi untuk England dalam Euro 2020.

Penyerang memilih untuk menghentikan rawatan terhadap kecederaannya sehingga berakhirnya saingan Euro ketika mewakili England -- namun Rashford merupakan salah seorang pemain yang gagal menyempurnakan penalti ketika final bertemu Itali.

Dia hanya beraksi 84 minit untuk England, gagal menghasilkan jaringan, assist atau menghasilkan peluang.