Marcus Rashford dan Jude Bellingham telah dipanggil semula kembali ke dalam skuad England kendalian Gareth Southgate bagi aksi kelayakan seterusnya, tetapi Jadon Sancho dan rakan sepasukan di Manchester United, Jesse Lingard tidak tersenarai.

England memerlukan empat mata untuk layak ke Qatar 2022 ketika kunjungan Albania Jumaat minggu depan dan satu lagi aksi kelayakan di San Marino tiga hari berikutnya.

Ia adalah panggilan pertama Rashford sejak dia gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas dalam final Euro 2020 kepada Itali kerana dia baru pulih daripada pembedahan bahu, manakala Bellingham kembali ke dalam skuad selepas diketepikan untuk perlawanan sebelumnya menentang Andorra dan Hungary.

Kekurangan masa permainan di peringkat kelab nampaknya menyebabkan Sancho dan Lingard kehilangan tempat mereka dalam skuad England.

Bercakap selepas membuat pengumuman, Southgate berkata, "Dengan Mason [Greenwood] saya telah membincangkan situasi itu sebelum ini, menengenai Jesse dan Jadon mereka tidak memperoleh banyak waktu bermain berbanding pemain-pemain lain dalam posisi tersebut.

"Saya mengetahui ramai mengatakan saya tidak konsisten, tetapi saya tidak setuju. Jika anda bermain secara kerap untuk kelab anda, anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan."

Harry Maguire, Trent Alexander-Arnold, Reece James dan Kalvin Phillips turut tersenarai dalam skuad 25 pemain, manakala Kieran Trippier, Fikayo Tomori dan Ollie Watkins diketepikan.