Ralf Rangnick berkata kepada pemain Manchester United bahawa usaha yang mereka lakukan ketika mengikat Newcastle United 1-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi masih belum mencukupi.

Pengurus interim itu tidak gemar dengan aksi United di St James' Park, di mana mereka ketinggalan sejak awal permainan gara-gara jaringan Allan Saint-Maximin dan memerlukan Edinson Cavani untuk masuk daripada bangku simpanan bagi menjaringkan gol penyamaan.

United kelihatan kembali ke prestasi lama mereka seperti sebelum pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dan bernasib baik dapat meraih kemenangan tipis ke atas Norwich City dalam perlawanan lalu dan amat bernasib baik dapat berkongsi mata dengan Tyneside kali ini.

Bekas pengendali RB Leipzig itu berkata menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada pemainnya dan berkata mengenai prestasi mereka: "Saya langsung tidak menggemarinya.

"Kami mencuba untuk mengawal permainan dengan lebih baik. Hari ini, kami langsung tidak dapat mengawal permainan melainkan dalam beberapa momen.



Bercakap kepada Sky Sports, Rangnick menambah: "Pada akhirnya, kami mendapat satu mata, itu adalah perkara yang baik tetapi daripada segi persembahan, ia perlu dipertingkatkan."

Rangnick memulakan eranya dengan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, yang memberikannya keyakinan bersama pasukan itu tetapi aksi buruk mereka ketika menentang dua pasukan bawahan liga, Norwich dan Newcastle, telah menimbulkan kebimbangan.

"Ia tentang fizikal, ia tentang tenaga. Kami perlu bersedia dan mampu untuk bertempur secara langsung dan perkara ini tidak selalu berlaku.

"Walaupun pada ketika kami mengawal permainan, kami memberikan lawan terlalu banyak peluang, termasuk gol yang kami lepaskan," katanya lagi.