PSG 0 NICE 0

Ketua jurularih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, menegaskan bahawa pendahulu Ligue 1 itu sepatutnya menang dan tidak mensia-siakan peluang di depan gawang selepas terikat tanpa jaringan dengan Nice awal pagi tadi.

PSG gagal meraih kemenangan di Parc des Princes buat kali pertama dalam kesemua kejohanan sepanjang musim ini.

Mereka mendaftarkan 22 percubaan ke gawang lawan -- rekod tertinggi tanpa menjaringkan sebarang gol dalam Ligue 1 sejak 2016 -- di mana Angel Di Maria dan Kylian Mbappe memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan tetapi tidak dapat merobohkan tembok pertahanan lawan.

Bahkan, ia merupakan kali pertama sepanjang 18 pertemuan liga lalu Nice dapat menghalang PSG daripada membolosi gawang mereka.

Tetapi Pochettino -- yang sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Manchester United -- berasakan prestasi yang dipamerkan PSG itu sepatutnya dapat memberikan mereka kemenangan, pada ketika Lionel Messi terus buntu untuk menemui sasaran biarpun baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d'Or buat kali ketujuh.

"Kami memiliki peluang tetapi tidak menjaringkan gol. Kami layak untuk menang," kata Pochettino.

"Adakalanya ia berlaku, bola tidak mahu masuk ke gawang, adakalanya penjaga gol terlampau bagus.

"Ini perkara yang anda perlu terima sepanjang musim ini. Saya gembira dengan prestasi bertahan pasukan ini.

"Kami sedang meningkat sedikit demi sedikit. Kami berada di tangga pertama Ligue 1 dan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Kami perlu terus meningkat dan bersedia terhadap momen-momen penting," katanya.