Mauricio Pochettino mencabar Paris Saint-Germain (PSG) untuk mengesuaikan diri dengan taktikal paling seimbang tanpa kehadiran pemain yang masih cedera, Neymar.

Pemain kebangsaan Brazil itu terpaksa berehat enam hingga lapan minggu selepas terkehel buku lalinya sewaktu berdepan Saint-Etienne hujung minggu lalu.

Neymar diusung keluar ketika pasukannya meraih kemenangan 3-1 dalam perlawanan Ligue 1 itu dan tidak lagi akan dapat beraksi sepanjang baki tahun ini.

Bercakap menjelang perlawanan PSG menentang Nice awal pagi esok, Pochettino meluahkan simpatinya buat Neymar, yang mendaftarkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan daripada 10 penampilan liga musim ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih itu menuntut pasukannya untuk mempamerkan kemampuan sebenar dan membiasakan diri tanpa penyerang bintang itu.

A post shared by NJ ?? (@neymarjr)


"Saya sedih mengenainya kerana dia seorang yang gemar bermain bola sepak melebihi perkara lain," kata Pochettino.

"Kami tidak akan mencuba untuk menggantikan Neymar tetapi kami akan mencari penyelesaian dengan keseimbangan taktikal terbaik.

"Kami berasakan seperti sedang berdepan cabaran yang akan membantu kami berkembang sebagai satu pasukan dan staf.

"Masalah ini tiba dan kami perlu mencari penyelesaiannya.

"Saya fikir prinsip pasukan ini, dalam permainan ini, akan tiba di sana.

"Kami akan terus berkembang seperti apa yang kami mahukan sejak awal tahun ini dengan pemain yang kami dapat turunkan di atas padang," katanya.