KAWASAKI FRONTALE 1 PSG 2

Christophe Galtier berkata Paris Saint-Germain (PSG) masih mempunyai banyak kerja rumah untuk dilakukan bagi menyesuaikan diri dengan sistem baru yang diterapkannya selepas memulakan jelajah pra-musim mereka dengan kemenangan ke atas Kawasaki Frontale, malam tadi.


Sentuhan pemusnah Lionel Messi dan Arnaud Kalimuendo memberikan juara Ligue 1 itu kemenangan 2-1 ke atas juara Jepun berkenaan di hadapan lebih 60,000 peminat di Stadium Nasional.

Galtier, dilantik bagi menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat bulan ini, menurunkan Sergio Ramos, Presnel Kimpembe dan Marquinhos ketika mengetengahkan formasi tiga pertahanan tengah.

Bekas pengurus Lille dan Nice tersebut berasakan PSG bernasib baik kerana hanya bolos sekali dalam perlawanan pembukaan mereka itu, tetapi sedar ia akan memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri.

Dia dipetik berkata dalam L'Equipe: "Ia adalah perlawanan yang sangat pantas ketika berdepan sebuah pasukan yang sedang bersaing di pertengahan kempen. Mereka begitu bersedia daripada segi fizikal, taktikal dan teknikal.



"Mengenai kami pula, terdapat kombinasi serangan yang baik. Saya gemar cara pemain saya memberikan tekanan hebat dan jelas ke kubu lawan sekali gus membolehkan kami menjadi berbahaya selain mencipta banyak situasi untuk diri sendiri.

"Kami sedang berkembang dalam sistem baru, 3-4-1-2, jadi kami perlu memahaminya. Kami tidak seimbang dan disebabkan itulah kami melepaskan terlalu banyak situasi di depan gawang.

"Ia adalah satu tugas berat untuk minggu-minggu akan datang. Kami mahu ramai pemain terlibat ketika menyerang dan pada masa yang sama dapat mengekalkan keseimbangan.

"Anda perlu cuba mencari rentak dan penyudah dengan segera bagi mengelak daripada terperangkap dalam situasi peralihan."

Gergasi Paris itu akan menentang Urawa Red Diamonds dalam perlawanan seterusnya pada Sabtu ini.