"Saya tak larikan diri," kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang bersedia untuk menjawab segala persoalan dan isu berbangkit mengenai skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, dia berharap agar semua pihak dapat bersabar memandangkan ia akan dirungkaikan dalam sidang media selepas mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Jumaat ini.

Selain kritikan peminat terhadapnya rentetan kegagalan skuad negara dalam saingan Piala Suzuki AFF di Singapura hujung bulan lalu, Hamidin juga dituntut untuk memberikan penjelasan mengenai kedudukan peta halatuju F:30 dan status ketua jurulatih baru Harimau Malaya.

Hamidin, ketika ditanya wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, mengenai perkara itu -- sewaktu Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baru FAM di Presint 5, Putrajaya hari ini -- berkata: "Saya tidak perlu dipuji, apa yang akan saya buat nanti akan jadi cerita kemudian.

"Saya tidak perlu dipuji, saya cintakan bola sepak dan saya buat.

"Sampai masa nanti, hari Jumaat nanti lebih baik.

"Anda semua sebagai media sukan juga menyokong bola sepak, anda nak bola sepak (negara) naik, saya juga seperti itu.

"Mungkin 'netizen' ada pandangan mereka, tidak mengapa, semua orang juga mungkin tidak boleh mendapatkan sokongan tetapi saya tahu apa yang saya buat.

"Insya Allah, hari Jumaat nanti saya akan jelaskan, anda semua datang, saya tidak melarikan diri.

"Saya ada hal peribadi, semalam baru saya potong gelang kuarantin dan saya bersedia untuk menjawabnya Jumaat nanti tetapi hari ini, tolong beri ruang untuk Perdana Menteri kita melakukan majlis pecah tanah," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyempurnakan majlis pecah tanah ibu pejabat baru FAM di Putrajaya.

Badan induk itu juga menerima peruntukan RM10 juta sebagai mencerminkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan sukan bola sepak negara.