Mauricio Pochettino berharap Neymar tidak mengalami kecederaan serius walaupun mengakui imej yang dilihatnya dalam insiden itu tidak kelihatan baik.

Neymar diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan buku lali ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Saint-Etienne 3-1 malam tadi -- tidak lama selepas Angel Di Maria meletakkan pasukan pelawat itu 2-1 di depan.

Marquinhos kemudian menanduk masuk gol keduanya dalam perlawanan itu pada lewat permainan tetapi Pochettino, dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan, menjelaskan kebimbangannya mengenai situasi yang menimpa Neymar.

Neymar dilihat terpaksa bertongkat untuk meninggalkan padang dan sambil mengharapkan pemulihan segera penyerang itu, Pochettino turut menegaskan bahawa PSG perlu menunggu diagnosis penuh kecederaan berkenaan hari ini.

"Tidak ada apa lagi untuk diperkatakan ketika ini, ia kesakitan yang dirasakannya di pergelangan kakinya. Kami akan melakukan pemeriksaan esok dan kemudian kami akan melihatnya," kata Pochettino.

Pochettino sebelum itu berkata kepada Amazon Prime: "Kami perlu melihatnya esok tetapi daripada imej, saya harap ia bukan kecederaan yang serius dan dia dapat kembali bersama pasukan secepat mungkin. Tetapi berdasarkan aksi itu, ia tidak kelihatan baik."

Neymar pula menulis dalam satu kiriman Instagram mengenai perkembangan kecederaannya.

"Ayuh pulih, malangnya musibah seperti ini adalah sebahagian daripada hidup seorang atlet. Kini, itulah yang anda terima, dongakkan kepala anda dan ayuh laluinya. Saya akan kembali dengan lebih baik dan lebih kuat," tulisnya.

A post shared by NJ ?? (@neymarjr)