ATALANTA 1 MILAN 1

Stefano Pioli memuji ketabahan dan kematangan Milan selepas juara Serie A itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan seri 1-1 di Atalanta, awal pagi tadi.


Milan kelihatan bakal menempa kekalahan liga pertama sejak tewas 1-2 kepada Spezia pada 17 Januari lalu apabila percubaan jarak jauh Ruslan Malinovskyi melepasi jangkauan penjaga gol, Mike Maignan.

Bagaimanapun, rembatan kaki kiri Ismael Bennacer dalam separuh masa kedua menyelamatkan maruah Rossoneri.

Walaupun keputusan itu menghentikan rentak kemenangan Milan dalam tujuh perlawanan Serie A selain menafikan juara bertahan tersebut untuk permulaan yang sempurna dalam kempen baru, ia tetap menawarkan bukti lanjut terhadap kemampuan kebangkitan luar biasa Rossoneri.

Milan memungut lebih banyak mata daripada kecicirannya berbanding pencabar lain dalam Serie A pada 2022 (14), lantas gambaran keseluruhan perlawanan itu mengundang rasa puas Pioli.

“Saya bertandang dengan yakin bahawa kami sebuah pasukan yang ampuh dan kami telah menunjukkannya,” katanya selepas perlawanan.




“Sudah tentu ada rasa kesal kerana tidak memenangi perlawanan ini, sayangnya kami tidak memenanginya tetapi saya melihat pasukan ini makin mantap dan matang.

"Anak buah saya memberi sedikit sebanyak tentangan ketika berdepan lawan yang sangat kuat, tekanan yang kami hadapi meningkat.

"Pasti akan ada banyak aspek yang perlu diketengahkan untuk diperbaiki."