Perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, masih berada dalam perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke Kejohanan Piala Uber di Denmark, Oktober depan biarpun tidak akan beraksi dalam saingan Divisyen 1, Kejohanan Jemputan BAM di Bukit Kiara bermula Rabu depan.

Badan induk itu tiada masalah untuk memberikan kepercayaan dan tanggungjawab buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu biarpun tidak menyertai aksi pemanas badan berkenaan.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu sepatutnya memberikan cabaran dalam kejohanan dalaman berkenaan tetapi kecederaan kaki kanan yang dialaminya menafikan hasrat itu.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semasa Jin Wei dan enggan terburu-buru dalam mengetepikan pemain itu daripada perancangan mereka.



"Memang dia tidak bermain (dalam Kejohanan Jemputan BAM) kerana masih dalam fasa pemulihan, jadi keamatan latihannya masih belum 100 peratus," katanya kepada Nadi Arena.

"Disebabkan itu kami tidak mahu dia bertanding dalam kejohanan itu.

"Penilaian buat Jin Wei adalah sama ada dia bersedia atau tidak dan bukannya sama ada (prestasi) dia sudah berkarat atau tidak.

"Kerana bagi kami, sekiranya Jin Wei boleh beraksi 100 peratus, tahapnya memang agak tinggi.

"Itulah penilaian kami dan bukan sama ada dia dapat beraksi kerana tidak menyertai kejohanan.

"Jin Wei seorang pemain yang sudah biasa dengan kejohanan besar dan mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi menghadapi kejohanan-kejohanan seperti ini (Piala Uber).

"Jika dia tidak dapat beraksi dengan baik, ia kerana tubuhnya masih belum bersedia dan bukan kerana dia tidak bersedia daripada segi mental," katanya.