Skuad sepak takraw Melaka berjaya melangkah ke final selepas menewaskan ATM dalam aksi separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali, sebentar tadi.

Melaka turun ke gelanggang bagi aksi separuh akhir berbekalkan sorakan padu penyokong di Bukit Serindit namun aspek tersebut belum menjamin kelebihan buat mereka apabila ATM enggan memberikan laluan mudah dalam misi ke pentas akhir acara doubles lelaki.

Aksi sengit jelas terlihat sejak awal set pertama apabila kedua-dua pasukan saling meraih mata namun hanya sekali sahaja melaka berjaya jarakkan kelebihan dua mata iaitu ketika mereka mendahului 6-4.

Dan selebihnya, Melaka buntu untuk melebarkan jurang lebih besar dan lebih menggusarkan apabila ATM terus menghadirkan permainan yang berkualiti sehinggakan mereka berjaya meraih kelebihan tiga mata menerusi keputusan 14-11.

Enggan calar reputasi di laman sendiri, Melaka memperkemaskan aksi dan sekaligus berjaya mencipta kebangkitan untuk memintas kelebihan ATM untuk menang set pertama 21-18.

Masuk set kedua, ATM enggan kesilapan set pertama berulang apabila berjaya raih kelebihan besar 6-2, namun kelebihan itu tidak menjejaskan rentak Melaka apabila mereka berjaya bangkit mendahului 18-16 sebelum terus memperkasakan kehebatan untuk mengesahkan tempat di final menerusi kemenangan 21-19.

Menanti Melaka di final adalah Perak selepas mereka berjaya menoktahkan kemenangan 21-19, 22-20 ke atas Kuala Lumpur.