Kuala Lumpur mempamerkan taring di hari pertama cabaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali selepas merekodkan kemenangan sebentar tadi.

Pasukan negara jiran, Singapura mempertaruhkan Tan Kee Ler dan Afiq Khan Azmi Khan yang berjersi hitam kuning menentang wakil berpengalaman Kuala Lumpur, Aidil Aiman Azwawi dan Mohd Muslim Ramli dalam aksi doubles.

Permainan berat sebelah sedikit mengganggu kerancakan saingan pada awal saingan dan penantian Singapura untuk mengutip mata pertama hanya berjaya ditamatkan dengan kegagalan servis Kuala Lumpur yang terkandas di jaring untuk kedudukan menjadi 11-1.

Namun hanya itu sahaja peluang yang diberikan wakil Kuala Lumpur sebelum pantas menamatkan set pertama 21-1.

Selepas itu Singapura dilihat kembali lebih baik di set kedua, namun rejaman demi rejaman dilakukan masih belum mampu untuk menggugat penguasaan Kuala Lumpur yang diperkuat pula Daniel Arami Abdul Halim, sehingga memimpin 16-11.

Ia diikuti kutipan mata berturut turut oleh pasangan Kuala Lumpur itu untuk mengesahkan kemenangan mereka menerusi keputusan 21-11 di set kedua.