Walaupun saingan Piala Thomas belum bermula, skuad Malaysia terus langkah kanan apabila hanya perlu bersaing dengan dua pasukan sahaja dalam peringkat kumpulan.

Ia susulan pasukan England mengumum penarikan diri saat akhir, yang menyaksikan tiada pengganti akan mengisi kekosongan dalam Kumpulan D.

England mengumumkan penarikan diri empat hari sebelum saingan berlangsung setelah tiga daripada empat pemain perseorangan lelaki mereka mengalami kecederaan.

Bagaimanapun England tidak menamakan identiti pemain terbabit, namun berdasarkan senarai nama yang beraksi dalam Piala Sudirman minggu lalu adalah Johnie Torjussen, Harry Huang dan Ethan Rose, sementara Toby Penty sepatutnya bersama skuad England di Aarhus, Denmark minggu ini.

Ini bermakna Malaysia tidak perlu membuat perhitungan dengan England dalam aksi pembukaan Kumpulan D, dengan hanya perlu menumbangkan Kanada dalam aksi terakhir kumpulan seandainya mahu mencapai sasaran suku akhir serta waspada dengan ancaman Jepun.