Pengurus Harimau Malaya, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan terdapat dua pemain kebangsaan, yang kini berada di Singapura bagi saingan Piala Suzuki AFF, diuji positif COVID-19 dan sedang menjalani pengasingan selama 10 hari maksimum.

Dua pemain berkenaan adalah pemain tengah Terengganu FC, Faisal Halim, dan penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid.

Kedua-dua pemain utama negara itu menjalani ujian calitan PCR sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kelmarin dan disahkan positif virus itu hari ini.

Menjelang perlawanan pertama menentang Kemboja petang esok, Yusoff mengesahkan perkara itu dengan berkata kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly: "Hanya dua pemain yang positif sahaja dikuarantin.

"Mereka dikuarantin mengikut SOP (prosedur operasi standard) di sini (Singapura) dan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari tetapi mereka akan menjalani ujian calitan setiap hari.

"Tempoh kuarantin maksimum, setakat ini adalah 10 hari.

"Mereka adalah Faisal Halim dan Yan (Khairulazhan). Mereka didapati positif daripada ujian PCR yang kami jalani sewaktu tiba di lapangan terbang dan bukannya sewaktu berada dalam gelembung sukan," katanya.

Selepas aksi menentang Kemboja, Malaysia akan menentang Laos pada Khamis depan sebelum bertemu Vietnam dan Indonesia, masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.