MALAYSIA 3 KEMBOJA 1

Skuad negara membuka kempen Piala Suzuki AFF dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Gol sepakan penalti daripada Safawi Rasid dalam babak pertama selain jaringan Akhyar Rashid dan pemain gantian, Kogileswaran Raj, sudah cukup untuk memastikan tiga mata pertama Harimau Malaya sambil Kemboja memperoleh gol sagu hati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Sath Rosib.

Malaysia mempamerkan penguasan sejak awal permainan dan hampir memperoleh jaringan awal menerusi tandukan Syafik Ahmad yang tersasar.

Asakan bertali arus skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila Akhyar dijatuhkan dalam kawasan penalti untuk Safawi menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-33.

Biarpun beraksi kurang kemas pada awal babak kedua, Malaysia akhirnya melebarkan kedudukan pada minit ke-60 apabila Akhyar menemui lorongan gemilang Syafik sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Keo Soksela.

Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, kemudian melakukan lintangan rendah dari sebelah kanan untuk memastikan seorang lagi pemain gantian, Kogileswaran, membuka akaun jaringannya pada minit ke-77.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu memulakan kempen dengan rekod tanpa bolos tidak kesampaian apabila pengadil dari Arab Saudi, Shukri Hussain Al-Alhunfush, mendapati penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, mengangkat kaki terlalu tinggi, sekaligus memberikan Kemboja sepakan penalti yang dijaringkan Rosib dalam waktu kecederaan.

Malaysia seterusnya akan menentang Laos pada Khamis ini sebelum bertemu Vietnam dan Indonesia, masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.