Pertahanan berdarah kacukan negara, Dion Cools, mengesahkan bahawa dia akan memperkuatkan skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF di Singapura bermula 5 Disember depan.

Bagaimanapun, pemain kelab Denmark, FC Midtjylland, itu dijangka hanya dapat diturunkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Disember berikutan komitmen dengan majikannya.

Terdahulu, Cools pernah mencipta kontroversi apabila tidak mewakili skuad kebangsaan dalam kunjungan ke Amman, Jordan bagi dua aksi persahabatan antarabangsa gara-gara tidak cukup cergas tetapi diturunkan Midtjylland ketika menentang AGF dalam Liga Denmark.

Namun, Cools kali ini memberikan jaminan bahawa dia akan memberikan komitmen penuh setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend bersama wartawan, Syakirah Zulkifly, dia berkata: "Saya berkata kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bahawa saya bersedia untuk bermain tetapi saya tidak fikir keseluruhan pemain skuad negara sudah diumumkan secara rasmi.

"Tetapi tidak mengapa, saya menantikan untuk ia diumumkan secara rasmi.

"Saya fikir perlawanan terakhir saya bersama kelab dalam Liga Denmark adalah pada 12 Disember, jadi saya rasa saya dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Indonesia.

"Harap-harap saya dapat bermain lebih banyak perlawanan tetapi ia sudah pasti bergantung kepada prestasi pasukan," katanya.

Malaysia akan membuka saingan Piala Suzuki AFF dengan menentang Kemboja (6 Disember) sebelum bertemu Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia.

Sebagai rekod, Malaysia pernah bergelar juara kejohanan itu sewaktu di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal pada 2010.