AL ITTIHAD 3 AL NASSR 1

Cristiano Ronaldo tidak dapat membantu Al Nassr ke final Piala Super Saudi selepas tewas 1-3 kepada Al Ittihad di Stadium Antarabangsa King Fahd awal pagi tadi.

Gol daripada Romarinho, Abderrazzaq Hamed Allah dan Muhannad Al Shanqiti menyaksikan Al Ittihad -- yang dikendalikan bekas pengurus Wolves dan Tottenham, Nuno Espirito Santo -- menempah pertemuan dengan Al-Fayha dalam penentuan gelaran itu di Riyadh.

Al Ittihad jelas memberikan kekecewaan awal buat Ronaldo apabila melakukan serangan bertali arus untuk mendahului 2-0 sebelum Talisca merapatkan jurang buat Al Nassr selepas waktu rehat.

Selepas jaringan Talisca, Ronaldo turut mengambil sepakan percuma dalam usahanya menyamakan kedudukan buat Al Nassr tetapi di sebalik tekanan yang dihadapi Al Ittihad pada penghujung permainan, Al Shanqiti berhasil menambah satu lagi gol dalam masa kecederaan untuk memastikan kemaraan pasukannya ke final.

Ia bermakna, Ronaldo perlu menunggu lebih lama dalam penantian gol rasmi pertamanya di Arab Saudi menjelang perlawanan ketiganya bersama Al Nassr.