Skuad badminton negara memulakan kempen Piala Sudirman 2021 dengan nota kemenangan selepas menewaskan England 3-2 dalam perlawanan Kumpulan D di Finland sebentar tadi.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron- Cheah Yee See, memulakan rentak kemenangan skuad negara apabila hanya memerlukan 48 minit untuk menewaskan pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith, 21-19, 21-18.

Taruhan utama negara, Lee Zii Jia, menepati ramalan untuk mendominasi saingan perseorangan lelaki dengan menewaskan Johnnie Torjussen 21-4, 21-15 dalam masa 28 minit.

Cabaran Malaysia kemudian dikibarkan oleh beregu lelaki nombor lapan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang bermandi peluh sebelum merekodkan kemenangan 22-20, 21-18 selepas 40 minit perlawanan.

Bagaimanapun, di kala Malaysia secara keseluruhan sudah sah menewaskan pasukan Eropah berkenaan, rentak cemerlang itu tidak dapat diteruskan S. Kisona apabila perseorangan wanita negara itu tunduk 16-21, 20-22 kepada Abigail Holden.

Smith, yang kemudian bergandingan dengan Chloe Birch dalam acara beregu wanita, berhasil menewaskan gandingan negara, Pearly Tan-M. Thinaah, 21-18, 17-21, 21-10.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, juara dua kali, Jepun, tidak berdepan masalah untuk merekodkan kemenangan bersih 5-0 ke atas Mesir.



*Kredit foto: BAM