Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengesahkan Alisson Becker dan Diogo Jota tidak dapat diturunkan untuk perlawanan merebut Piala Perisai Komuniti dengan Manchester City, tengah malam minggu ini, tetapi penjaga gol itu dijangka cergas untuk memulakan musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Alisson mengalami kecederaan perut dalam perlawanan pembukaan siri jelajah Liverpool ketika tewas 0-4 kepada Manchester United di Bangkok dua minggu lalu, lantas terlepas tiga perlawanan persahabatan sejak itu.

Bercakap awal minggu ini, Klopp berkata Alisson masih mempunyai peluang untuk beraksi menentang City di Stadium King Power tetapi pemain antarabangsa Brazil itu kini secara rasmi diketepikan, sementara kecederaan hamstring Jota akan memakan masa untuk sembuh.

"Ia adalah perlawanan yang sangat penting. Ia adalah piala domestik terakhir yang belum kami menangi, jadi kami akan mencubanya," kata pengurus kelahiran Jerman itu.

“Ia adalah perlawanan yang sangat penting tetapi kami masih perlu bersedia untuk sepanjang musim.

"Saya tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa selepas perlawanan ini adalah semusim yang panjang-- kami perlu melanjutkan pra-musim kami ke musim ini," katanya.




Perlawanan malam minggu ini akan menjadi perlawanan kompetitif pertama Liverpool sejak tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid, dua bulan lalu, tetapi Klopp menegaskan bahawa mereka tidak lagi dihantui kekalahan itu.

"Saya cuma mengambil masa sehari untuk melupakannya, kemudian kami mengadakan perarakan," katanya.

“Kami sedar ia adalah satu perlawanan yang begitu hampir (menjulang trofi) dan kami tidak bernasib baik dalam beberapa saat, inilah sukan dan kami akur dengan peraturannya.

"Kami bermain di tahap yang tinggi, tekal dan berhak muncul pemenang dalam perlawanan yang kami menangi. Kami perlu melakukannya sekali lagi musim ini."