MALAYSIA 2 HONG KONG 1

Skuad B-22 negara muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Merlion selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam aksi final di Singapura sebentar tadi.

Jaringan daripada Najmuddin Akmal Kamal Akmal dan Safwan Mazlan dalam babak kedua menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan itu sambil kesilapan daripada penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, membawa padah buat skuad negara.

Malaysia jelas pasukan yang lebih banyak menguasai permainan sejak dari awal dan berhasil melakukan beberapa percubaan tetapi tiada sebarang jaringan terhasil sepanjang separuh masa pertama.

Pemain gantian, Najmuddin Akmal, memastikan segala usaha yang dilakukan pemain negara tidak berakhir sia-sia apabila memecahkan kebuntuan dengan menanduk masuk lintangan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-74.

Berselang lima minit, Safwan bertindak bijak menghidu peluang sebelum melepaskan satu rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti untuk menggandakan kelebihan Harimau Muda.

Bagaimanapun, gawang Malaysia dibolosi seminit kemudian apabila penjaga gol, Rahadiazli, gagal menyepak tepat bola untuk dikeluarkan dari kawasan bahaya dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Lau Ka Kiu untuk merapatkan kedudukan buat Hong Kong.

Permainan kian tegang menuju ke penghujung sehingga berlaku konfrontasi di antara pemain kedua-dua pasukan dalam waktu kecederaan -- yang mengakibatkan Haqimi Azim dan pemain Hong Kong, Kong Maddox, dilayangkan kad merah -- tetapi ia tidak mengubah keputusan perlawanan itu untuk skuad negara bergelar juara kejohanan jemputan berkenaan buat kali pertama sejak 1982.