Hasrat Petaling Jaya (PJ) City untuk mengelak pertembungan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pusingan awal Piala Malaysia tidak kesampaian meskipun berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan terakhir Liga Super, malam tadi, sekali gus menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Ini kerana berdasarkan undian dibuat oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini, pasukan yang berada di kedudukan sembilan akan bertemu JDT dalam pusingan pertama Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya Selasa depan.

Bagaimanapun, pengendali The Phoenix, P Maniam, enggan menyerah kalah awal sebaliknya akan merangka strategi bagi memerangkap JDT dalam usaha meraih keputusan positif untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

“Seperti yang kita ketahui, JDT sudah memenangi Piala FA dan bergelar juara Liga Super sekali gus memasang impian mahu merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya akan beri pemain rehat dua hari dan melihat pemain yang bersesuaian untuk diturunkan menentang JDT.




"Dalam bola sepak tiada yang mustahil kerana jika kita menunjukkan corak permainan berkualiti dan berikan komitmen tinggi, saya yakin mampu tumpaskan skuad Harimau Selatan," katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) itu, anak buah Maniam menang menerusi gol tunggal Darren Lok pada minit ke-40.


Bagaimanapun, kemenangan itu tidak mengubah kedudukan liga buat PJ City selepas pencabar terdekat, Sri Pahang FC, menundukkan Negeri Sembilan 2-0 untuk melonjak ke posisi ketujuh sementara PJ City terus kekal di tangga kesembilan.



Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan terakhir Liga Super bertemu KL City, Maniam berkata, barisan anak buahnya menunjukkan disiplin yang tinggi ketika melakar kejutan terhadap juara Piala Malaysia 2021 itu.

"PJ City beraksi denan baik dan mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Paling penting, pemain berjaya manfaat peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol,"katanya.

Kredit: Sinar Harian