Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, memberikan bayangan bahawa pasukannya akan turun bagi aksi separuh akhir Piala FA malam esok tanpa penyerang import, Kpah Sherman.

Menantikan cabaran Selangor Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Nafuzi mendedahkan bahawa Sherman masih belum cergas sepenuhnya daripada masalah kesihatan dan berkemungkinan besar tidak akan diturunkan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Nafuzi berkata: "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan semua pemain tidak mengalami kecederaan kecuali Kpah Sherman yang masih belum cergas sepenuhnya selepas pulih daripada demam.

"Mungkin dia akan dipersiapkan bagi perlawanan seterusnya.

"Bagi saya, seorang atau dua orang penyerang sama sahaja daripada segi formasi kerana apa yang penting adalah pemain perlu berada di posisi yang betul.

"Dan apabila melakukan serangan, kita tetap akan memerlukan empat atau lima pemain dalam kotak penalti, tidak kira penyerang atau pemain tengah," katanya.