WOLVES 0 LIVERPOOL 1

Harvey Elliot menjaringkan gol tunggal dengan penyudah jarak jauhnya untuk Liverpool mara ke pusingan keempat Piala FA selepas menewaskan Wolves 1-0 di Stadium Molineux awal pagi tadi.

Elliot merupakan seorang daripada lapan pemain yang diturunkan The Reds selepas kekalahahan 0-3 kepada Brighton and Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu dan pemain remaja itu membuktikan kebolehannya dengan menghasilkan satu jaringan gemilang dalam babak pertama.

Wolves sebelum ini kelihatan tidak bernasib baik dalam aksi pertama pusingan ketiga di Anfield, di mana jaringan kemenangan mereka pada lewat permainan dibatalkan kerana ofsaid tetapi kali ini, mereka gagal memberikan sebarang ancaman dalam aksi ulangan di tempat sendiri.

Kemenangan yang diraih skuad bimbingan Jurgen Klopp itu juga merupakan yang pertama daripada empat perlawanan untuk kini berpeluang melunaskan dendam ke atas Brighton dalam pusingan keempat.

Liverpool segera menemui sentuhan terbaik mereka selepas insiden lampu limpah terpadam seketika pada minit pertama dan Elliot meletakkan mereka di depan menerusi penyudah yang luar biasa.

Pemain tengah itu melakukan satu larian pantas sebelum melepaskan rembatan kaki kiri kencang dari jarak 25 ela untuk menewaskan Jose Sa pada minit ke-13.

Percubaan Kostas Tsimikas kemudian menggegarkan palang gol manakala usaha yang dilakukan Cody Gakpo pula tersasar sebelum Adama Traore mempamerkan aksi kurang tenang untuk gagal menyudahkan peluang dari sudut sukar.

Julen Lopetegui melakukan dua pertukaran selepas waktu rehat dengan membawa masuk Matheus Nunes dan Nelson Semedo tetapi Wolves tetap kekurangan idea untuk melancarkan serangan sehingga ke penghujung perlawanan.