ARSENAL 3 AFC WIMBLEDON 0

Jaringan gemilang Eddie Nketiah melengkapkan kemenangan 3-0 Arsenal ke atas AFC Wimbledon dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di laman sendiri awal pagi tadi.

Terdahulu, Arsenal hanya merekodkan kemenangan tipis dengan kelebihan satu gol dalam dua perlawanan lalu -- ke atas Norwich City dan Burnley -- dan kelihatan akan sekali lagi berdepan situasi sama apabila berdepan kesukaran untuk melebarkan kelebihan selepas gol penalti awal Alexandre Lacazette.

Bagaimanapun, penyudah Emile Smith Rowe dan kuisan cantik Nketiah memastikan pasukan kendalian Mikel Arteta itu memiliki momentum yang diperlukan menjelang aksi 'derby' menentang Tottenham hujung minggu ini.

Pasukan dari divisyen tiga, Wimbledon, mempamerkan aksi terpuji biarpun dibolosi seawal minit ke-11.

Terjahan Nesta Guinness-Walker ke atas Gabriel Martinelli di sebelah kanan kawasan penalti membuka peluang buat Lacazzete, yang memperdaya penjaga gol, Nikola Tzanez, untuk membuka jaringan dalam perlawanan itu.

Arsenal kian buntu untuk menemui penyudah selepas jaringan itu tetapi percaturan Arteta memasukkan Smith Rowe dan Bukayo Saka dalam babak kedua membuahkan hasil apabila pemain nombor 10 The Gunners itu memanfaatkan hantaran Lacazette sebelum menemui sasaran.

Nketiah kemudian menjaringkan gol menerusi kuisan tumitnya untuk memastikan kemenangan selesa Arsenal, sekali gus meneruskan kemaraan ke pusingan keempat.