LIVERPOOL 0 ARSENAL 0

Jurgen Klopp tidak percaya ada mana-mana pasukan yang tidak akan merindui Mohamed Salah dan Sadio Mane selepas sentuhan berbisa Liverpool terjejas tanpa kedua-duanya ketika berdepan Arsenal dalam perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.


Salah dan Mane termasuk pemain tengah, Naby Keita, sedang mengharungi tugasan antarabangsa dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Mane menyumbat gol kemenangan ketika membantu Senegal membenam Zimbabwe, dan dia akan berdepan Guinea yang turut ditunjangi Keita dalam pertemuan malam ini.

Sementara itu, Mesir yang diwakili Salah tewas 0-1 kepada Nigeria dalam perlawanan pembukaan di peringkat kumpulan. Penyerang itu, yang telah meledak 23 gol pada musim ini buat The Reds, dikritik hebat apabila hanya mampu mencatat empat sentuhan di dalam kotak lawan selain melancarkan satu percubaan tepat pada perlawanan Isnin lalu.

Klopp pastinya amat merindui khidmat dua bintang itu selepas kecewa gagal menundukkan 10 pemain Arsenal dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala EFL di Anfield itu.

Layangan kad merah yang diterima Granit Xhaka di pertengahan separuh masa pertama mendorong Mikel Arteta untuk beralih kepada formasi 5-3-1 sekali gus mampu mengekang jentera serangan lawan.

The Reds mempunyai 78.1 peratus penguasaan dan 17 percubaan berbanding tiga oleh Arsenal, namun hanya percubaan Curtis Jones pada masa kecederaan yang benar-benar menguji Aaron Ramsdale.

Kesilapan penjaga gol Arsenal itu turut gagal dimanfaatkan Takumi Minamino pada minit ke-90 biarpun pintu gol sudah ternganga .





Ditemui dalam sidang akhbar oasca perlawanan adakah Liverpool merindui kelibat pemain utama, Klopp menjawab: "Mana-mana pasukan akan merindui Salah, Mane dan Keita.

"Bolehkah kami bersedia untuk itu? Saya rasa tidak.

"Kami sudah tahu mengenainya sejak sekian lama. Kami menggunakan sumber yang ada pada malam ini, mereka masih mampu beraksi dan menjaringkan gol."

Perlawanan separuh akhir di Anfield itu pada asalnya ditetapkan sebagai perlawanan timbal balik, tetapi wabak COVID-19 di kem berkenaan menyaksikan perlawanan di Stadium Emirates minggu lalu terpaksa ditunda.

Klopp akan membawa pasukannya berkunjung ke utara London pada minggu depan sambil menyedari pemenang akan berdepan Chelsea dalam final.

"Kami tidak cukup kreatif. Kami tidak melakukan beberapa perkara dengan cukup baik tetapi akhirnya kedudukan masih 0-0," katanya.

"Kami tidak fikir keputusan ini merupakan pengakhiran buat kami. Kami akan mencubanya lagi pada minggu depan."

Sekiranya mereka mengiringi Chelsea ke perlawanan akhir di Wembley, Liverpool -- yang akan menentang Brentford dalam Liga Perdana Inggeris, Ahad ini -- mengintai kejuaraan kesembilan Piala EFL.