Tite mengakui telah melakukan kesilapan tidak menyedari lebih awal bahawa Neymar telah mengalami kecederaan buku lali dalam kemenangan Brazil ke atas Serbia dalam aksi Piala Dunia Qatar.

Neymar kelihatan tidak selesa pada minit ke-80 ketika The Selecao menang 2-0, apabila mengalami kecederaan ligamen di bahagian buku lali.

Bintang Paris Saint-Germain itu turut berkongsikan perkembangannya menerusi Instagram, termasuk gambar kakinya yang kelihatan bengkak.

Tite berkata dalam sidang akhbar selepas perlawanan bahawa dia yakin Neymar, serta Danilo, yang turut mengalami kecederaan ketika menentang Serbia, masih boleh beraksi di Qatar.

Bagaimanapun, pada sidang media pra-perlawanannya menjelang perlawanan kedua Kumpulan G Brazil, menentang Switzerland, Tite berkata dia seharusnya mengendalikan pemain tersebut dengan lebih baik.

"Saya membuat kesilapan," katanya. “Saya tidak sedar dan saya mahu mengakui secara terbuka perkara ini.

“Dia cedera, saya tidak nampak dia mengalami kecederaan, kami tidak mendapat maklumat itu.

“Dia cuba untuk terus bermain sehingga dia memberitahu kami dia berasa sakit pada buku lalinya."

Neymar dikasari sembilan kali ketika bertemu Serbia dan dilayani dengan teruk oleh pemain lawan sejak dua edisi Piala Dunia.

Jika digabungkan edisi 2014 dan 2018, Neymar dikasari 44 kali -- atau sekali setiap 21 minit.