Jurrien Timber tidak gentar untuk berdepan Lionel Messi tetapi mengakui ia akan menjadi satu tugas mencabar.

Pertahanan Belanda, Timber, akan ditugaskan untuk menyekat pergerakan pemain terbaik dunia itu apabila pasukan bimbingan Louis van Gaal berkenaan berdepan Argentina dalam suku akhir Piala Dunia Qatar awal pagi esok.

Messi setakat ini telah menjaringkan tiga gol dalam kempen di Qatar berkenaan dan menjadi kunci utama ketika Argentina menyingkirkan Australia dengan kemenangan 2-1 dalam pusingan 16 hujung minggu lalu.

Menyekat pergerakan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu akan menjadi kunci kejayaan buat Belanda untuk melayakkan diri ke separuh akhir dan Timber sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Bercakap dalam sidang media di sebelah seorang lagi pertahanan Belanda, Nathan Ake, dia berkata: " Adakah saya akan berasa gentar? Semestinya tidak.

"Ia satu cabaran yang hebat untuk menentangnya. Messi sorang pemain yang luar buasa tetapi kami bukan hanya berdepan Messi dan kami tidak perlu menyelesaikannya di antara kami berdua.

"Kami akan melakukannya secara berpasukan," katanya.

Ake menambah: Amat sukar untuk menghentikannya. Dia mungkin pemain terbaik dunia tetapi kami perlu berhati-hati dengan beberapa pemain lain juga."