Luis Enrique meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Sepanyol berikutan kekalahan mengejut pasukannya dalam pusingan 16 Piala Dunia kepada Maghribi, demikian menurut Persekutuan Bola Sepak Diraja (RFEF).

Sepanyol tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti berikutan perlawanan di Stadium Education City kelmarin berakhir tanpa jaringan selepas masa tambahan.

Kontrak bekas pengurus Barcelona itu akan berakhir sebaik kejohanan di Qatar berkenaan berakhir dan sebentar tadi pengumuman untuk mengosongkan kerusi panas tersebut disahkan.

“RFEF ingin mengucapkan terima kasih kepada Luis Enrique dan seluruh kakitangan kejurulatihannya yang menerajui pasukan kebangsaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan persekutuan terbabit.

"Pengurusan sukan RFEF telah menyerahkan laporan kepada presiden untuk menentukan projek baharu harus dimulakan ke atas pasukan bola sepak Sepanyol.




"Matlamatnya adalah untuk meneruskan perkembangan yang telah dicapai dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini hasil tugas Luis Enrique dan barisan kejurulatihanya.

"Presiden, Luis Rubiales, dan Pengarah Sukan, Jose Francisco Molina, telah memaklumkan keputusan ini kepada jurulatih.

"RFEF dengan penuh semangat ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Luis Enrique dan pasukannya berhubung projek profesional masa depan mereka.

"Jurulatih wajar menerima kasih sayang dan kekaguman rakan sejawatnya dalam pasukan kebangsaan dan seluruh persekutuan ini yang akan sentiasa menjadi kampung halamannya."