Sepanyol terus mengubah barisan kejurulatihannya dengan yang terbaru, Albert Luque dupilih sebagai pengganti Jose Molina selaku pengarah sukan.

La Roja terlebih dahulu mengumumkan pengunduran ketua jurulatih, Luis Enrique, dua hari selepas mereka tewas kepada Maghribi dalam penentuan penalti pusingan 16 Piala Dunia Qatar.

Luis de la Fuente, yang sebelum ini mendatangkan kejayaan sewaktu mengemudi pasukan B-19 dan B-21 negara itu, akan mengambil alih pasukan senior bermula minggu depan.

Molina merupakan figura berprofil tinggi terbaru yang menerima padah daripada kegagalan kempen Piala Dunia kali ini, di mana Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengesahkan bahawa kontraknya tidak akan disambung pada awal tahun depan.

Luque akan mengisi jawatan pengarah sukan manakala Francis Hernandez pula akan bertindak selaku pembantu kepada bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu.

Sepanyol mara ke final Liga Negara-Negara Eropah sebanyak dia kali dan layak ke separuh akhir Euro 2020 sepanjang empat tahun perkhidmatan Molina.

Juara Dunia 2010 itu seterusnya akan menentang Norway dan Scotland dalam pusingan kelayakan Euro 2024 pada penghujung Mac depan.