Neymar perlu mengabaikan kata-kata "dengki dan berniat jahat" oleh mereka yang meraikan kecederaan buku lalinya dan hanya fokus untuk kembali lebih kuat untuk Brazil dalam baki kempen Piala Dunia di Qatar, menurut wira edisi 2002 negara itu, Ronaldo.

Terdapat pelbagai reaksi terhadap Neymar yang perlu diketepikan ketika menentang Switzerland, tengah malam ini, termasuk perlawanan seterusnya menentang Cameroon, malah penyokong Selecao sendiri meragui kemampuan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Sokongan Neymar terhadap calon Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang dikalahkan oleh Lula dalam pilihan raya bulan lalu, menyaksikan ramai yang mencemuh penyerang berusia 30 tahun itu.



Neymar menjadi bintang utama di Qatar dalam pemburuan trofi keenam Piala Dunia wakil Amerika Selatan itu, sementara Ronaldo turut menggalas amanah besar ketika membantu mereka menjulang kejayaan kelima menerusi lapan gol yang dicetaknya pada 2002, termasuk dua jaringan ketika mengatasi Jerman dalam perlawanan akhir.

Lantas, dia menyifatkan Neymar sebagai pemain hebat dalam satu kenyataan di Instagram.

Ronaldo menambah: "Saya yakin bahawa kebanyakan rakyat Brazil seperti saya, mengagumi dan menyayangi anda. Bakat anda telah membawa anda sejauh ini, begitu tinggi, hingga terdapat cinta dan kekaguman terhadap anda di seluruh pelusuk dunia.

"Dan juga atas sebab ini, atas apa yang anda miliki, berikutan kejayaan yang telah anda capai, anda perlu berhadapan dengan begitu banyak perasaan iri hati dan berniat jahat.

"(Mereka) meraikan kecederaan bintang seperti kamu, orang yang mempunyai kisah seperti kamu. Sejauh mana mereka akan pergi? Dunia apakah ini? Mesej apa yang kami sampaikan kepada anak muda kita? Akan sentiasa ada orang yang menentang kamu tetapi amat menyedihkan untuk melihat masyarakat ke arah meremehkan sikap tidak bertoleransi, menormalkan ucapan kebencian.

"Ia bertentangan dengan ucapan ganas menerusi kuasa pemusnah yang saya tulis kepada anda hari ini: Kembali lebih kuat! Lebih bijak! Lebih dahagakan gol! Kebaikan yang anda lakukan di dalam dan di luar padang adalah lebih besar daripada perasaan iri hati terhadap anda.





"Jangan sama sekali lupa perjalanan yang menjadikan anda sebagai idola bola sepak dunia. Brazil menyayangi anda! Peminat sebenar -– mereka yang menyokong anda -– memerlukan gol anda, gelecekan anda, keberanian dan kegembiraan anda! Raikan cinta yang datang daripada kebanyakan penyokong negara anda. Anda akan bangkit semula! Dan semoga segala kebencian (yang dilemparkan) bertukar menjadi bahan pembakar semangat."

Neymar terhincut-hincut pada minit ke-80 ketika Brazil mencatat kemenangan 2-0 ke atas Serbia dengan kakitangan perubatan mengumumkan dia mengalami kecederaan ligamen buku lali kanannya.

Bekas penyerang Barcelona itu dikasari sebanyak sembilan kali dalam perlawanan itu -- terbanyak berbanding mana-mana pemain lain dalam sesebuah perlawanan Piala Dunia ini.