Pengarah Roma, Tiago Pinto, berkata kelab itu tidak boleh menerima alasan yang diberikan Gareth Southgate yang mengetepikan Tammy Abraham dan Chris Smalling untuk Piala Dunia Qatar.

Duo Giallorossi itu sebelum ini menaruh harapan untuk menyertai rombongan 26 pemain England dalam kempen yang bakal membuka tirai di Timur Tengah berkenaan, minggu depan.

Abraham disebut-sebut sebagai pilihan kedua yang tepat selepas Harry Kane berikutan 27 jaringannya bersama Roma musim lalu, tetapi dengan hanya empat gol dalam 20 penampilan musim ini, Southgate sebaliknya beralih kepada penggempur Newcastle Unite, Callum Wilson.

Kehadiran muka tetap England, Harry Maguire, untuk mengisi bahagian pertahanan berbanding Smalling di sebalik minit permainannya yang terhad di Manchester United secara tidak langsung mengundang kemarahan Pinto.

"Saya tidak boleh terima -- baik Roma mahupun kelab lain -- bahawa orang cuba mewajarkan panggilan antarabangsa dengan situasi di peringkat kelab," kata Pinto kepada DAZN.


"Sekiranya Tammy bukan sebahagian daripada skuad England adalah kerana dia tidak menjaringkan gol sepanjang bulan lalu sebagai contoh, tetapi England boleh pula menyenaraikan seorang pemain yang semalam sekadar memanaskan bangku simpanan, maka Smalling sepatutnya menjadi pemain utama untuk England."

Abraham terpaksa membayar harga mahal atas kemarau jaringannya pada detik yang tidak sesuai seperti yang dijelaskan Southgate dalam sidang media baru-baru ini.

Pinto berkata sepatutnya ada ruang yang lebih besar buat penyerang itu sambil menambah: "Saya ingin mengatakan kami berpuas hati dengan Tammy, tetapi sentiasa dengan perspektif bahawa dia masih boleh meningkat dan saya pasti dia akan melakukannya.

“Kami gembira melihat pemain kami menyertai Piala Dunia kerana ia penting buat mereka, tetapi saya tidak boleh terima hakikat bahawa terdapat keraguan terhadap kemampuan pemain Roma sedangkan ia berpunca daripada pilihan peribadi."