Belanda mudah ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas menumbangkan Amerika Syarikat (AS) 3-1 dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Antarabangsa Khalifa sebentar tadi.

Gol daripada Memphis Depay, Daley Blind dan Denzel Dumfries memastikan langkah bergaya Oranje selaku lapan pasukan terbaik sambil kempen AS ditamatkan biarpun berhasil memperoleh satu gol daripada Haji Wright.

Dumfries muncul pemain paling menyerlah dalam pertemuan kali ini, di mana dia terlibat dengan ketiga-tiga gol pasukannya.

Depay membuka jaringan seawal minit ke-10 apabila menyudahkan lintangan ke belakang Dumfries untuk menewaskan Mat Turner.

Belanda kian selesa menuju ke bilik dengan dua gol selepas sepakan leret Daley Blind turut berhasil menewaskan Turner -- juga daripada lintangan Dumfries -- dalam waktu kecederaan babak pertama.

Belanda, bagaimanapun, cemas seketika apabila kuisan tumit menarik Wright gagal diselamatkan barisan pertahanan Belanda pada minit ke-76.

Bagaimanapun, momentum kebangkitan yang direncanakan AS itu segera dimatikan Belanda, di mana giliran Dumfries memahat nama selaku penjaring sebaik menerima umpanan Blind.

Belanda seterusnya akan bertemu pemenangan di antara Argentina dan Australia bagi penentuan ke separuh akhir.