Neymar menyifatkan kecederaan buku lalinya ketika membuka kempen Piala Dunia di Qatar sebagai salah satu detik paling sukar dalam kariernya.

Bintang Brazil itu perlu diketepikan untuk perlawanan kedua Kumpulan G ketika menentang Switzerland, tengah malam Isnin depan, selain berdepan kemungkinan terlepas perhitungan dengan Cameroon empat hari kemudian.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menderita kecederaan di pergelangan kaki kanannya selepas diterjah Nikola Milenkovic dalam kemenangan 2-0 ke atas Serbia semalam sebelum digantikan pada minit ke-80.

Dia dikasari sembilan kali dalam permainan itu, terbanyak dalam kalangan mana-mana pemain yang terbabit dalam perlawanan pertama kempen di Qatar.

Jumlah tertinggi itu diekori lima kekasaran terhadap pemain Sepanyol, Gavi, ketika menentang Costa Rica.

Neymar memasang impian besar dalam pemburuan gemilang Piala Dunia dan dia yakin untuk kembali cergas sepenuhnya bagi menyambung peranan dalam kejohanan itu di samping Danilo yang turut menempuhi nasib sama.




“Kebanggaan dan kasih sayang yang saya rasai kerana menyarung jersi itu tidak dapat dijelaskan,” tulisnya di Instagram.

“Jika tuhan memberi saya peluang untuk memilih negara untuk dilahirkan, ia adalah BRAZIL.

"Tiada apa-apa dalam hidup ini yang saya nikmatinya dengan mudah. ​​Saya sentiasa perlu mengejar impian dan matlamat saya. Tidak pernah berniat jahat terhadap sesiapa sebaliknya membantu mereka yang memerlukan.

"Hari ini menjadi salah satu detik paling sukar dalam karier saya dan sekali lagi dalam Piala Dunia. Saya mengalami kecederaan ya ia menjengkelkan, ia akan menyakitkan tetapi saya pasti saya berpeluang untuk kembali kerana saya akan melakukan yang terbaik demi membantu negara saya, rakan sepasukan dan diri sendiri."