Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, mengumumkan peletakkan jawatannya sambil berkongsi kekecewaannya berikutan The Red Devils terkandas awal dalam Piala Dunia.

Pasukan di ranking kedua dunia itu terkandas awal di Qatar berikutan menduduki tempat ketiga Kumpulan F selepas seri tanpa jaringan dengan Croatia, tengah malam tadi.

Mereka gagal mengulangi reputasi lolos ke separuh akhir edisi 2018 di Russia apabila bergelut untuk mengatasi Kanada dalam perlawanan pembukaan sebelum menempa kekalahan mengejut kepada juara kumpulan, Maghribi.

Kebuntuan Croatia itu juga menandakan penamat buat Martinez untuk terus menyandang jawatan tersebut apabila bertindak mengundur diri selepas enam tahun.

"Inilah kedudukan kami pada hari ini," katanya.





“Kami menampilkan persembahan yang sangat baik dan mengecewakan Croatia dalam separuh masa pertama, tetapi tidak dapat mengambil peluang dalam babak kedua.

"Kami meraih kedudukan yang sangat baik tetapi tidak menyudahkan dengan baik. Dalam separuh masa kedua, kami kelihatan mantap dan mungkin mencipta peluang yang lebih berbahaya berbanding pada 2018.



"Kami mempamerkan semangat dan pasukan ini benar-benar mengambil berat berbanding dua perlawanan terdahulu -- kami seperti bukan diri sendiri (dalam dua perlawanan pertama).

"Didorong oleh kualiti dan pengalaman, kami masih mampu memenangi perlawanan pertama (ke atas Kanada) tetapi kami bukan diri sendiri. Hari ini berbeza sama sekali.

"Maghribi mengecewakan kami dan kami tersingkir dengan jurang kecil -- tiada ruang untuk sebarang kesilapan.

"Maghribi mengutip peluang mereka dan Croatia memang berhak untuk mara. Ia adalah satu kekecewaan besar buat kami."