Frank Lampard percaya Jordan Pickford akan cergas untuk mewakili England bagi kempen Piala Dunia Qatar 2022, November depan.

Penjaga gol Everton itu mencetuskan cemas selepas ketua jurulatih England, Gareth Southgate, terpaksa meminggirkannya berikutan kecederaan paha yang dialaminya.

Pickford dibelenggu masalah itu sejak dua minggu lalu selepas seri tanpa jaringan dalam pertembungan Merseyside 'derby' dengan Liverpool untuk terlepas perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) bertemu Itali dan Jerman, minggu depan.

Malah, pemain itu mungkin kembali seawal bulan depan ketika menghadapi Southampton dan Manchester United -- sebaik Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung selepas jadual antarabangsa.




"Jordan tidak akan terbabit dalam perlawanan persahabatan membabitkan England minggu depan," kata bekas pengurus Chelsea itu.

"Kami perlu pastikan mengambil langkah tepat. Untuk itu saya telah bercakap dengan fisioterapi termasuk daripada kem England.

"Saya harap dia akan kembali dalam 2-3 minggu lagi. Kami tidak boleh ambil risiko atau ia boleh menjejaskan tempoh rehat musim sejuk kelak."

Dalam masa sama, Lampard percaya mereka tidak boleh tergesa-gesa berikutan kebimbangan kecederaan berulang.

"Sebagai bekas pemain saya sedar betapa negatif apabila kembali daripada kecederaan terlalu awal.

"Saya pernah mengalaminya beberapa kali. Saya terlalu mendesak untuk kembali. Sekarang saya sudah berpengalaman. Jadi saya boleh mengambil langkah sewajarnya ke atas pemain saya," katanya.