Peluang untuk merangkul Piala Dunia Qatar 2022 sudah tertutup buat Croatia dan Maghribi tetapi perjuangan buat negara menjadi pertaruhan apabila kedua dua pasukan bertemu untuk penentuan tempat ketiga esok.

Penyerang Croatia, Andrej Kramaric, menolak tanggapan aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu sebagai perlawanan yang tidak membawa sebarang makna.

"Saya rasa kalau anda bertanya soalan yang sama kepada pemain Maghribi, mereka juga tidak bersetuju (perlawanan sia-sia).

"Para pemain berjuang untuk diri mereka kerana jika anda memenangi pingat di Piala Dunia, anda akan jadi wira yang abadi di negara anda.

"Itulah perkara sama yang akan kami lakukan," kata Kramaric.

Croatia mara ke final pada 2018 di Russia, namun dikecewakan Argentina 3-0 pada aksi separuh akhir edisi kali ini.

"Lapan daripada kami (skuad edisi 2018) faham mengenai perasaan memenangi pingat di Piala Dunia tetapi ada ramai lagi pemain yang belum merasainya dan mahukan pengalaman itu.

"Ini kerana kemenangan ini akan terus diingati sepanjang hidup mereka," katanya.

Bagi Maghribi, tanpa mengira apa juga keputusan, mereka kekal memegang status sebagai pasukan Piala Dunia terhebat dalam sejarah benua Afrika.