Pemain tengah England dan Manchester City, Kalvin Phillips, bergelut untuk cergas menjelang kempen Piala Dunia Qatar, November depan.

Pemain itu terlepas kemenangan bergaya 3-0 The Citizens ke atas 10 pemain Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, malam tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu berada di landasan kemenangan sejak merobek gawang lawan pada minit pertama melalui ketajaman Jack Grealish.

Erling Haaland turut meneruskan rentak jaringannya pada minit ke-16 dan nasib Wolves bertambah perit apabila perlu mengharungi sejam permainan tanpa Nathan Collins yang dibuang padang.




Namun, di sebalik kecemerlangan mereka menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), bekas pemain Leeds United itu menawarkan berita kurang enak apabila sah menarik diri daripada skuad antarabangsa bimbingan Gareth Southgate untuk menghadapi Itali dan Jerman dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL), hujung bulan ini.

Dan walaupun sempat beraksi dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), Philips akhirnya memutuskan untuk menjalani pembedahan bahu -- pernah menjalani prosesnya dua kali -- yang membelenggunya sejak pra-musim lalu.