Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Julian Draxler, memilih menyertai Benfica menerusi pinjaman selama semusim.

Pemain antarabangsa Jerman itu akan menghabiskan kempen 2022-23 di Estadio da Luz dengan menyarung jersi nombor 93.

Draxler merupakan pemain kelapan yang diikat Roger Schmidt dalam jendela ini dalam misinya mencari minit permainan menjelang Piala Dunia di Qatar akhir tahun ini.

Pemain kelahiran Jerman berusia 28 tahun itu masih belum diturunkan PSG musim ini selepas menjaringkan 26 gol dalam 198 penampilan sejak tiba dari Wolfsburg pada 2017.



Bagaimanapun, beberapa siri kecederaan telah membantutkan hasratnya untuk merebut posisi tetap dalam kesebelasan utama sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Malah, masalah lutut menyebabkan dia tersisih dalam minggu-minggu terakhir kempen 2021-22 apabila hanya membuat lima permulaan liga di bawah Mauricio Pochettino.

Draxler berpeluang membuat penampilan sulung apabila Benfica mengalu-alukan Vizela ke Estadio da Luz dalam Liga Primeira, awal pagi esok.

Pasukan kendalian Schmidt itu telah membuat permulaan sempurna bagi kempen liga dengan memenangi keempat-empat perlawanan pembukaan.