Carlos Queiroz mengkritik penyokong Iran selepas pasukannya dibelasah 6-2 oleh England dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Qatar mereka, menasihati mereka yang 'tidak bersedia untuk menyokong pasukan' supaya 'kekal di rumah'.

Perlawanan Kumpulan B semalam telah dimainkan dalam suasana yang sangat bersemangat, apabila pemain Iran enggan menyanyikan lagu kebangsaan mereka dalam menunjukkan solidariti yang jelas dengan penunjuk perasaan anti-kerajaan di negara mereka.

Kumpulan hak asasi manusia berkata lebih daripada 400 orang telah kehilangan nyawa mereka di tengah-tengah tindakan keras terhadap protes di Iran, yang bermula berikutan kematian Mahsa Amini September lalu, seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditangkap kerana keengganannya untuk memakai tudung.

Herdikan turut kedengaran sepanjang lagu kebangsaan dimainkan, manakala beberapa penyokong Iran dilihat memegang papan tanda yang menyatakan sokongan mereka terhadap hak wanita.

Ketika sidang akhbar selepas tamat perlawanan, Queiroz menyeru peminat Iran untuk memberikan sokongan kepada barisan supaya menghadirkan semangat mereka ketika beraksi di Piala Dunia berbanding menggunakan platfom ini dengan niat yang berbeza.

"Tolong, guru-guru, ahli moral, biarkan pemain-pemain bermain bola sepak. Mereka hanya mahu bermain bola sepak di pentas Piala Dunia," kata Queiroz.

"Saya berharap pemain England dan Wales serta Amerika Syarikat memuji mereka kerana mempunyai keberanian bermain. Mereka berada di sini untuk membawa kebanggaan dan kegembiraan kepada rakyat.

"Anda tidak tahu apa yang dialami oleh barisan pemain di belakang tabir kerana mereka mahu melakukan tugas mereka di sini. Apa sahaja yang mereka [pemain] katakan, mereka [pengkritik] mahu menjatuhkan mereka.

"Sudah tentu, kami mempunyai pendapat kami dan kami akan menyatakannya pada masa yang sesuai. Tetapi saya suka permainan ini dan mahu mereka bermain dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan.

"Semua orang tahu keadaan semasa persekitaran pemain saya bukanlah persekitaran terbaik.

“Mereka hanya mempunyai satu impian, bermain untuk negara, bermain untuk rakyat dan saya sangat bangga dengan cara mereka berdiri dan terus berjuang.

"Saya sangat berbangga dengan apa yang mereka lakukan tetapi sudah tentu pada 2014 dan 2018 kami mendapat sokongan penuh peminat. Anda melihat apa yang berlaku hari ini, penyokong yang tidak bersedia untuk menyokong pasukan harus tinggal di rumah."