Granit Xhaka mendapati dirinya tersepit dalam satu lagi kontroversi membabitkan Serbia selepas menyarungkan baju dengan perkataan'Jashari' dalam kemenangan mendebarkan 3-2 Switzerland di Doha, awal pagi tadi.

Xhaka menyajikan prestasi terbaiknya untuk membantu Switzerland bangkit daripada ketinggalan 1-2 bagi meraih tempat kedua Kumpulan G, Piala Dunia di Qatar dan mara ke pusingan 16 untuk bertemu Portugal, Rabu depan.

Namun, tindakannya selepas wisel penamat boleh mengundang perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika meraikan kejayaan pasukannya selepas wisel penamat, Xhaka menyarungkan baju yang membawa perkataan 'Jashari'.

Ditanya selepas itu apakah maksudnya, pemain tengah Arsenal tersebut menjelaskan ia ditujukan kepada anggota skuad Switzerland, Ardon Jashari.




Bagaimanapun, nama itu boleh merujuk kepada Adem Jashari -- seorang pengasas Tentera Pembebasan Kosovo yang merupakan kumpulan pemisah Albania Kosovo yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Yugoslavia.

Xhaka merupakan pemain warisan etnik Albania yang dikaitkan dengan Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008 tetapi tidak diiktiraf oleh Serbia.




Ditanya mengenai baju itu, Xhaka berkata: "Tiada latar belakang politik mengenainya.

"Ardon adalah sebahagian daripada skuad kami dan kami menghabiskan banyak masa bersama-sama. Saya memberitahunya jika kami menang maka saya akan memakai baju ini."