Zlatko Dalic mengiktiraf kehebatan Lionel Messi yang menghasilkan persembahan memukau ketika mengatasi Croatia bagi merealisasikan impian Argentina menjulang gelaran Piala Dunia ketiga.

Messi memainkan peranan utama dalam menafikan pasukan kendalian Dalic itu untuk mengulangi pencapaian ke edisi lalu apabila meledak gol selain membuat gerakan jaringan untuk La Albiceleste menikmati kemenangan 3-0 dalam pertembungan separuh akhir, awal pagi tadi.

Keupayaan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu langsung tidak mengejutkan ketua jurulatih Croatia tersebut yang merancang untuk kekal mengendalikan pasukan berkenaan hingga kontraknya tamat pada 2024.

“Tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang kualiti Messi,” katanya.




“Dalam jangka masa 15 tahun ini, dia mungkin merupakan pemain terbaik di dunia dan sekali lagi hari ini, dia cemerlang dan berbahaya.

"Dia membeza kualiti dalam pasukan Argentina. Dia mempunyai kehebatan dan teknik ini di tahap prestasi yang sangat tinggi. Inilah Messi sebenar yang kita harap dapat disaksikan."

Bagaimanapun, Dalic mengakui beberapa pemain daripada generasi ketika ini tidak akan berada dalam pusingan akhir 2026 dan Luka Modric, 37, berkemungkinan tidak lagi berada dalam skuad.

“Edisi ini mungkin penghujung generasi kami dalam Piala Dunia, beberapa daripada pemain sudah lanjut usia untuk Piala Dunia 2026 -- jadi kami perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku kemudian.



“Kami mempunyai pencapaian yang hebat untuk pasukan kebangsaan Croatia dan ramai pemain berpotensi besar.

“Saya percaya generasi ini akan menamatkan kerjaya mereka dalam Euro 2024. Kami akan mengharungi perlawanan akhir Liga Negara-Negara (UNL) UEFA dan mereka merupakan generasi cemerlang yang mara ke separuh akhir buat kali dua berturut-turut.

"Alangkah baiknya jika dapat memenangi pingat emas untuk dimahkotakan kepada generasi ini."