Belgium merancang melantik calon yang pernah memenangi gelaran sambil mengalu-alukan permohonan untuk menggantikan Roberto Martinez sebagai ketua jurulatih selepas tersingkir awal dalam Piala Dunia 2022.

Martinez mengetuai Belgium ke separuh akhir edisi lalu apabila meraih tempat ketiga di Russia, empat tahun lalu, tetapi prestasi The Red Devils sama sekali tenggelam di Qatar.

Kekalahan mengejut 0-2 kepada Maghribi dan seri tanpa jaringan dengan Croatia menyaksikan Belgium gagal melepasi ranjau pertama dan mengundang Martinez angkat kaki.

Selepas gagal mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, Belgium -- yang mengisi kedudukan kedua ranking dunia FIFA -- sedang memburu seorang jurulatih yang pengalaman menguruskan barisan pemain terbaik".

Mengumumkan permulaan proses pelantikan itu, Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA) berkata: "Sekalipun tersingkir awal dalam Piala Dunia di Qatar, RBFA tetap bercita-cita tinggi untuk masa depan.



"RBFA sedang mencari jurulatih pasukan kebangsaan sepenuh masa yang tahu cara untuk menang. Jurulatih pasukan kebangsaan baharu sangat bercita-cita tinggi dan mempunyai pengalaman antarabangsa yang diperlukan di peringkat teratas, pengetahuan taktikal bola sepak serta kemahiran peribadi yang tepat.

"Calon itu perlu tahu cara dalam mewujudkan hubungan rapat dalam kalangan pasukan dan berkemahiran berintegrasi dengan pemain muda."

RBFA juga sedang mendapatkan pengarah sukan bola sepak elit bagi menggalas tanggungjawab menerajui visi bola sepak persatuan itu, dengan permohonan di dalam talian buat kedua-dua peranan tersebut dialu-alukan sehingga 10 Januari depan.

Belgium diundi di samping Austria, Sweden, Azerbaijan dan Estonia dalam proses kelayakan ke Euro 2024 yang bermula pada Mac 2023.