Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, mengakui pasukannya "kurang menikmati" permainan mereka selepas tunduk 0-2 kepada Maghribi, malam tadi.

The Red Devils ketinggalan sebaik Romain Saiss menyambut sepakan percuma berbahaya Abdelhamid Sabiri pada minit ke-73 minit sebelum Zakaria Aboukhlal melebarkan kedudukan pada masa kecederaan.

Ia meletakkan Belgium -- yang menamat kempen 2018 di tempat ketiga -- dalam situasi terumbang-ambing dan di ambang penyingkiran awal sambil menyedari memerlukan kemenangan ketika bertemu Croatia dalam perlawanan terakhir Kumpulan F, Khamis ini.

Belgium kelihatan bergelut di Qatar dan Martinez berasakan mereka mungkin terlalu memikirkan tentang peluang terakhir tatkala generasi emas negara itu terdesak untuk meraih kegemilangan.


Dia berkata: "Saya tidak nampak kami menikmatinya, kami kurang gembira. Ia mungkin disebabkan oleh beban berat yang kami galas di bahu kami. Dalam perlawanan terakhir, kami perlu memenanginya. Penampilan kami dalam dua perlawanan terakhir bagai mengundang kekalahan.




"Sekarang kami ada sesuatu untuk dimenangi. Jika kami menewaskan Croatia, kami akan layak. Bakat itu ada dan kualiti di hadapan gol juga sentiasa ada."

Dalam masa sama, Martinez mengakui tidak menyedari temu bual yang diberikan oleh Kevin De Bruyne apabila pemain tengah Manchester City itu mencadangkan pasukan Belgium kali ini lebih lemah daripada kumpulan 2018, tetapi dia mempertahankan pemain berusia 31 tahun tersebut yang turut memperagakan prestasi longlai.

Ditanya mengapa peminat masih belum melihat versi terbaik De Bruyne dalam Piala Dunia, Martinez menjawab: "Kita belum melihat Belgium yang terbaik lagi, kami belum mencapai tahap terbaik.

“Sebelum kami dibolosi, prestasi kami makin meningkat selepas bertemu Kanada dan keinginan kami untuk meraih keputusan positif tidak pernah pudar tetapi pasukan tidak menjadi diri mereka sendiri, bukan Kevin semata-mata.

"Kami memikul terlalu banyak tanggungjawab, kami perlu mencari kebebasan itu.

"Bola sepak adalah sukan berpasukan dan jika kami melakukannya, setiap individu mampu menjelmakan tahap yang lebih tinggi."






Sementara itu, pertahanan wakil Eropah tersebut, Jan Vertonghen, mengelak untuk mengulas panjang di sebalik fikirannya berkecamuk.

"Terdapat banyak perkara yang bermain di kepala dan adalah lebih baik saya untuk tidak mengatakannya, atau sekurang-kurangnya tidak di luar bilik persalinan.

"Ia sangat mengecewakan. Perlawanan pertama tidak bagus tetapi kami berjaya mengatasinya dengan baik.

"Namun, tidak hari ini. Saya tidak fikir kami mencipta sebarang peluang," katanya.