Romelu Lukaku tidak mungkin dipertaruhkan dalam barisan utama sempena perlawanan kedua Piala Dunia di Qatar bertemu Maghribi walaupun dia mula menjalani latihan bersama pasukan, menurut ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez.

Lukaku hanya membuat lima penampilan bersama Inter musim ini berikutan dihimpit kecederaan dan dia tersisih ketika Belgium memulakan kempen Kumpulan F dengan kemenangan 1-0 ke atas Kanada, semalam.

Tatkala Martinez berharap penjaring terbanyak Belgium itu kembali ketika berhitung dengan Maghribi di Stadium Al Thumama, Ahad ini, tetapi penyerang Nerazzurri tersebut mungkin perlu berpuas hati untuk memanaskan bangku simpanan.

“Hari ini, dia berlatih bersama kumpulan, sekarang kami perlu pantau bagaimana tubuhnya bertindak balas,” kata ketua jurulatih itu.




“Saya tidak fikir dia sudah bersedia untuk diturunkan dari awal permainan menentang Maghribi tetapi kami akan mengetahuinya dalam masa dua hari lagi.

"Tetapi dia nampaknya dapat berlatih dengan baik dan saya gembira dapat melihatnya kembali menyertai sesi latihan berkumpulan."

Sekiranya Belgium menewaskan pasukan bimbingan Walid Regragui itu, mereka akan menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang memenangi sembilan perlawanan kumpulan berturut-turut di pentas itu berkenaan sambil belum tewas dalam empat perlawanan terakhir.